Mohamad Zamri b Mohd Zin

Tuesday, August 17, 2010

CATATAN RAMADHAN 1431H










Ramadhan 1431 H memberikan sesuatu keistimewaan yang sangat bermakna dalam hidup ini. setelah melalui beberapa puluh Ramadhan sebelum ini tanpa banyak kelainan. Entah mengapa debaran menanti kedatangan Ramadhan 1431H membawa kelainan mencabar yang cukup bermakna dan sangat menggembirakan. Alhamdulillah Ya Allah Engkau Maha kaya dengan pemberian. Engkau menggembirakan hati ini dengan dugaan yang menenangkan..dalam Ramadhan yang penuh barakah...Barulah dirasakan apa itu Madrasah Ramadhan yang sebelum ini sering saya jadikan tajuk tazkirah selepas solat witir di surau...

1 RAMADHAN- Pertama kalinya aku menjadi tukang masak sepenuhnya tanpa bantuan isteri (selalunya aku tolong dia masak) kerana Shikin terlantar di katil kerana menahan sakit mengandung anak kami yang ke3. Aku dah pesan kalau tak larat tak payah puasa, tapi dia sayang nak berbuka. Zafran dehidration, tapi kami beri dia perangsang agar bersabar..itulah kesusahan kecil bebanding apa yang dialami saudara sebaya dengannya di Palastin, Iraq, Afghanistan dan lain2 negara ummat Islam. Ketara cengkung mata dan sedikit pucat bibir dia. Maklumlah sebelum ini hari2 makan nasi ayam di sekolah. Lagi pun SYS cuti first puasa, so dia rasa hari terlalu lama. Aku hanya masak nasi goreng ikan sambal di makan bersama kari ikan aji yang aku masak untuk sahur semalam. Shikin makan sikit saja sebab katanya bayi terlalu aktif menendang2 dalam perut.. Itulah ujian bagi seorang ibu mengandungkan anaknya. Layaklah ketaatan lebih kepada Ibu berbanding bapa.

Malam tu aku bertarawih bersama jemaah Surau Awwamiah Taman Pelangi Batu Gajah, seperti biasa selepas witir aku memberi tazkirah mengulas Buku "Solat Empat Mazhab" dan "Kesempurnaa Solat". Seusai tazkirah moreh dan selepas tu aku mempelawa jemaah yang ingin menyemak bacaan Al Quran dan aku terangkan sikit2 berkaitan hukum2 bacaan.

Pukul 11 malam baru selesai.. Sampai rumah salam tak berjawab, rupanya Shikin dan Zafran dah terlena sorang dalam kesakitan dan sorang dalam kekenyangan. Shikin terjaga dan bagi tahu Zafran buat Terawih sorang2. Alhamdulillah Engkau ilhamkan dia langkah-langkah untuk menjadi anak yang soleh.

2 Ramadhan (Khamis). Kami bersahur makan roti (macam biasa juga).

Mesyuarat JK Penerapan Nilai-Nilai Islam HRPB merangka beberapa aktiviti sambutan Ramadhan. Hari ini bubur lambuk (biasalah mesti bab makan diutamakan). Pukul 12.45 tgh group kami bertadarus- Haji Yusof London, Hj Abd Rahman, Hj Mastam dan sorang anggota makmal (lupa nama..mungkin En. Abd Razak).

Pukul 3.40 petang Shikin call..dia bleeding..Allah hu Akbar...bermulalah coretan baru Ramadhan kali ini..

Bergegas balik sempat jumpa Shikin di Labour Room HBG. Alhamdulillah dia OK. Balik rumah ambil barang2 perlu, inform kak jam (isteri abg Ayob) malam ni tak sempat imamkan Terawih. Inform kak Suri tolong jaga Zafran, saya mungkin lambat balik. Call Mama. Terus ke HRPB kerana Shikin dirujuk ke ke sana. Pukul 6.15 sampai di wad bersalin minta ke Labour Room. JM LR bagi tahu doktor tengah examine Shikin, minta diuruskan pendaftaran di Bangunan Utama. ( Ini yang public bising, dah la kita dalam keadaan cemas,terpaksa pulak melalui karenah birokrasi- bayangkan terpaksa berjalan dari O&G ke Main Blok hampir 1/2 kilometer-tak de sistem yang lebih mesra pelanggan ke?). Habis urusan hampir 6.30 ptg, masih tak boleh jumpa Shikin-Tak Tahu apa status lagi...Nizam call. Pukul 7.00 pegi ke Hospimart beli air dan roti, ingat nak berbuka di O&G. Ubah fikiran terus ke Masjid Muhibbudin Shah. Ujian Allah hujan turun dengan lebatnya beserta petir, hujan masuk ke khemah, habis basah aku dan jemaah lain, angin kuat pinggan pun terbang. Tapi entah mengapa aku rasa cukup terhibur dengan suasana begitu. 7.31 buka puasa ala kadar terus solat maghrib berjemaah. 8.05 ke LR semula, kali ini dibenarkan msuk untuk jumpa Shikin. DR explain bleeding sebab Uri ke bawah -Placenta Previa. baby belum cukup matang so, tak boleh buat operation. Shikin perlu admit untuk pemantauan lanjut. Suntikn diberi untuk mematangkan paru2 baby.

Aku nasihatkan Shikin Solat hormat waktu kerana keuzurannya. Malangnya tiada anggota yang berusaha membolehkan dia solat, sedangkan pendarahan itu bukan haid atau nifas. Baju yang dipakai tidak menutup aurat. Wad first class penuh, Shikin bermalam di second class..sedih juga tengok keadaan dia..namun aku penuh berkeyakinan Allah akan anugerahkan kami yang terbaik. Fitrahnya begitu, setiap kejayaan akan disusuli terlebih dahulu dengan kepayahan.

9.30 mlm bergegas balik ambil Zafran..terus ke surau nak mohon maaf kepada jemaah..minta tolong Abang Ayob ambil kereta Shikin di HBG. Selesai ambil kereta turun semula ke 7 eleven beli roti untuk sahur Zafran esok.

3 Ramadhan (Jummat)- Ingat nak ambil cuti, penat sangat..tapi dah janji dengan Matron Hafsah nak jadi Pembaca Doa Perhimpunan Pagi, so bergegas juga ke pejabat, sebelum tu sempat singgah tengok Shikin, hantar tuala, sabun dan berus gigi. Kesian dia banyak nyamuk di 2nd class, 3 sebilik berkongsi dengan 2 pesakit lain, katil agak rapat, tentu tak selesa..

Tengahari balik sembahyang jumaat terus bawa Zarif dan Zafran ke pejabat. Mulai hari ini Zafran balik sekolah dijemput oleh En Alias, jiran Kak Suri. Pukul 5 bawa anak jumpa Shikin. Pukul 6.45 Shikin dapat bilik di First Class. Aku dan anak2 berbuka puasa di Masjid Muhibbudin Shah.
Lepas maghrib pecut balik ke BG untuk bersama jemaah surau solat isyak dan terawih, Alhamdulillah sempat sampai sebelum Isyak walau pun hujan sepanjang jalan.

4 Ramadhan (Sabtu)- Pukul 10 pg baru budak2 tu bangun tidur lepas subuh. Siap2 nak ke Hospital RPB. Waktu melawat pukul 1.00 hg 2.00 & 5.00 hg 6.30 ptg. Sampai di wad bersalin dah ada Mama & Abah. Zafran tak boleh masuk..kesian dia merajuk. Nizam & Ros pun dtng. Shikin bagi tau DR cakap dia kena tinggal di wad selama 7 minggu..aduh lama tu..tapi untuk baby dan mama dia. itu yang terbaik.

Nampaknya kami akan beraya di wad bersalin tahun ini...

Pkl 2 selepas solat zohor bawa anak2 ke pejabat..tunggu sampai asar..lepas asar pukul 5 melawat semula Shikin..hujan masa tu.. kesian Zafran tak boleh masuk, so aku dan zarif bergilir2 melawat Shikin dan menjaga Zafran dalam kereta. Masa tu Shikin tinggal sorang dalam bilik untuk 4 orang tu..so malam ni mgkin tak de roomit..ada berani???

Kami terus ke Pasar Ramadhan Silibin beli nasi sorang sebungkus utk buka puasa.

Terawih utk 4 rakaat awal diimami oleh Ustaz Zarif. Alhamdulillah di cukup steady..hampir menitis air mata kesyukuran,,disebalik ujian ini Allah pilih anak2 aku berada pada laluan Insan Soleh.
Lepas terawih, tazkirah dan moreh, kelas Al Quran..Zarif dan Zafran join, sekali lagi aku ingin sujud bersyukur pada Allah dan malu rasanya pada Allah dengan anugerah yang begitu berharga ini.. Zarif memang dah mahir malah menghafal beberapa surah AlQuran,, Zafran juga agak lancar dan sangat berpotensi untuk mendapat kemahiran AlQuran ini..Alhamdulillah,,Alhamdulillah...Alhamdulillah..mungkin selepas ini anugerah yang sama atau yang terbaik bakal kami terima Insya Allah...Kami tetap sabar dan redha..Malam tidor lewat, kemas rumah dan basuh baju..Zarif banyak membantu.

5 Ramadhan (Ahad)- Lepas subuh sambung kemas rumah dan sidai baju, Zarif & Zafran sambung tidor Pukul 10.45 Ceramah kursus pra perkahwinan di Hasani. Budak2 ikut sama. Pastu terus ke HRPB..

pukul 3.00 ptg sempat berdengkor atas sofa..zarif siapkan keperluan asrama, zafran main..

Petang tu Aku dan zafran buka puasa di surau. Zarif dah balik ke asrama.. Zafran excited nak baca Quran dalam kelas lepas terawih..mentang2lah dia dah pandai baca..Ingatkan dia dalam amalan jgn Takabbur dan Riak kerana itu syirik kecil, bukan shj amalan ditolak malah akan diazab Allah..Waliyazubillah..dia tak brp paham lagi..

Malam tu banyak urusan kena buat, gosok baju kerja dan baju sekolah Zafran, siapkan jadual waktu Zafran dan beg sekolah serta kasut dan stokin..sebelum ini tugasan ini dikongsi bersama Shikin..kali ini kena tanggung tugas dia..kalau dapat elaun tanggung tugas tak pe jugak..tapi mengenangkan dia lebih teruk menanggung dugaan Allah...

6 Ramadhan (Isnin) - Zafran bangun sahur terus mandi pakai baju sekolah...kami subuh bersama2 di Surau..Disebabkan sahur di makan 2 biji roti..masa nak mula sembahyang dia kentut kuat..PRUUUUIIITTTT..tengah2 sembahyang dia nak terberak..Dia terus pegi berak di tempat ambil wudhuk...Lepas solat dia bagitau "Abah kita berak kat tempat ambil air sembahyang"..cepat2 aku cuci tempat tu..Alhamdulillah dia bagi aku pahala tambahan...Tak pe dik asalkan adik nak ke surau.itu dah anugerah bagi abah..TQ sayang..

Kelam kabut ke ofis tak jumpa pulak nametag..susah sikit nak masuk wad bersalin diluar waktu melawat kalau bukan staff. Pkl 1 tgh - habiskan masa bersama tersayang. hari ni mengantuk sgt sempat terlena di kerusi pejabat..pkl 5 hg 6.30 ptg bersama Shikin di wad..mlm tadi rupanya dia ada roomate..wad bersalin ni tak pernah kosong. Hari ni aku buka puasa di Masjid Taman Kledang Jaya, Silibin. Zafran berbuka dengan keluarga Kak Suri.

Masa ambil Zafran dia dah terlena..punyalah susah nak ajak dia ke surau untuk terawih..tapi bila dah mandi di segar semula..seronok pulak dia di surau..terutama masa baca AlQuran..Alhamdulillh bacaan dia agak baik berbanding jemaah lain yang jauh lebih tua dari bapanya...Ya Allah bukan tujuannya kami nak berbangga tetapi ingin lahirkan tanda kesyukuran kami pada Mu.

7 Ramadhan (Selasa) -Seksanya nak kejut Zafran bangun..itu kelemahan dia liat nak bangun pagi..sahur sambil tidur..pegi ke surau pun masih pejam mata..










Tidur di meja makan masa sahur









Tidur di sofa lepas sahur sebelum subuh









Tidur lepas solat subuh sebelum ke sekolah
Dalam kereta ke sekolah pun tidur siap basah dengan air liur basi..

Ramai org melawat Shikin hari ni..Group dari HBG diketuai Sister Norhayati, Group Tmn Pelangi diketuai oleh Cikgu Rozaihan (isteri Hj Jamaludin). Abah pun datang lepas follow up di SOPD.

Aku sempat bacakan surah Luqman untuk diri sendiri, isteri dan anak dalam kandungan agar dia menjadi antara manusia pintar penuh hikmah bakal menjadi khazanah ilmu rujukan ummat suatu masa nanti..AMIN..

pkul 5.45 balik lepas ziarah Shikin.. Jalan jem teruk..hujan..pkl 6.15 baru dapat keluar ke Silibin utk ambil mainroad Ipoh Lumut. Sampai BG pukul 6.45 terus ke Pasar Ramadhan beli nasi ayam dan popiah utk Zafran dan aku mkn nasi kerabu..Zafran minum air Laici beli semalam dan aku Air Gau..
alhamdulillah rutin terawih, tazkirah dan kelas AlQuran seperti biasa. Dengan ruang masa yang padat dengan urusan kerja, urusan Shikin, urusan Zafran (ni yg paling mencabar) urusan Surau, Allah berikan banyak kekuatan dan kegembiraan tanpa rasa tertekan..Alhamdulillah Engkau berikan ujian yang nampak macam susah tapi Engkau permudahkan untuk hambaMu yang banyak berdosa ini..

8 & 9 Ramadhan - Rutin seperti biasa..

10 Ramadhan (Jumaat)
Balik awal sikit dari ofis nak ambil Zarif. Hari ini kena jadi MC ceramah agama "Al Quran Penawar Segala Penyakit" penceramah Ust Kamal Izat.

2.30 ptg baru Zarif keluar...waduuh kelam kabut nak balik ke pejabat..pkl 3.00 ceramah start.

3.05 ptg sampai di Auditorium ACC ceramah baru mula..MC Khairul ambil alih tugas (dah inform ustazah Sakdiah...kalau lewat minta Khairul cover).

Zafran seronok dengar ceramah berkaitan makhluk halus dalam perubatan Islam. Zarif terlentok2 keletihan.

5.00 ptg - selepas solat asar kami terus ke Wad Maternity.

6.30 ptg - habis waktu melawat - bawa anak2 ke Masjid Muhibbudin Shah-malam ini HRPB menganjurkan majlis berbuka puasa. So buka puasa bersama anak2 di MMS. Terus Terawih dan dengar Tazkirah.

11 Ramadhan (Sabtu)

Cuci baju..anak2 tolong kemaskan rumah..zafran vacum..zarif cuci kasut dan kemas bilik.

Mazidah & keluarga melawat Shikin

terus melawat Shikin...on the way balik singgah di Pasar Ramadhan Desa Aman..beli nasi biriani mamak dan ayam percik..

Sahur masak nasi goreng ikan bilis...licin Zarif belasah..

12 Ramadhan (Ahad)

Budak2 mcm biasa liat nak bangun..

Bawa anak2 ke Billion Silibin.. beli baju Zarif
Ziarah Shikin tengahari saja sebab nak hantar Zarif balik ke asrama

Buka puasa di surau

13, 14, 15 Ramadhan- Rutin biasa

16 Ramadhan - Ambil off petang nak kemaskan barang Shikin di Ofis HBG. Bawa Zarif sekali dia mula cuti untuk sambut Nuzul Quran.

Lepas ambil Zafran terus ke HRPB. Beli juadah Iftar di Pasar Ramadhan Silibin..hujan agak lebat..Lepas makan nasi ayam buka puasa, Zafran terlena sampai sahur.

17 Ramadhan (Jumaat)

Hari ni cuti umum Nuzul Quran. Zarif Qadha tido..Zafran dah puas tidur semalam, tolong vacum rumah. Birthday Zarif ke 14 hari ni..apa hadiah nak bagi?

hari ini giliran baca khutbah di Masjid Taman Anggerik.

Pegi AlBarakah ziarah emak..lepas asar di sana mak nak ikut ziarah Shikin.

Nizam dan Ross pun ada di HRPB

Lepas hantar mak terus ke Masjid Taman Kledang Jaya utk berbuka puasa.. Zarif belasah 3 pinggan nasi minyak..memang sedap!!!

Sembahyang Terawih di Surau Awamiah..Zarif jadi Imam utk 4 rakaat pertama.

18 Ramadhan (Sabtu)

Budak2 lewat bangun tido lepas solat subuh...masing2 mabuk nasi minyak semalam.
Kemas rumah dan cuci pakaian.

Tengahari tak melawat Shikin..

petang keluar awal sikit. Nak cari hadiah utk Birthday Zarif. terus ke Pustaka Muda belikan Buku Novel 'Thoriq b Ziyad' itu yang diminta. Alhamdulillah masih ada remaja yang berminat untuk membaca kisah perjuangan para sahabat-paling terharu permintaan untuk hadiah hari kadi adalah sebuah buku. Allah banyak memakbulkan doa aku (ya Allah kurniakanlah kpd ku isteri dan zuriat yang menyejuk mata dan jadikanlah aku ketua orang2 yang bertaqwa) hamba yang selalu alpa ini.

Zafran juga berminat nak beli buku. Belikan dia qisah para nabi..seronok mereka membaca buku2 tu dalam kereta menghala ke hospital.

Sembahyang asar di Masjid Muhibbudin Shah.

Atas permintaan anak2 sekali lagi berbuka puasa di Masjid Taman Kledang..siap cari sudut yang sukar dilihat manusia...Zarif belasah lagi nasi minyak sampai licin..

Tapi yang terharunya mereka masih membaca buku2 yang dibeli sementara menanti azan berkumandang.

Solat Terawih Zarif jadi Imam 4 rakaat pertama.. Alhamdulillah moga2 Allah terus membimbing anak ini dan mentaqdirkan agar dia menjadi Insan Solleh..itu yang aku malu pada Allah..terlalu banyak anugerah berharga yang diberikan..tapi jarang sekali aku mensyukuri nikmat ini..Astaghfirullah hal Azim..

Mereka juga menyertai Kelas AlQuran yang aku kendalikan disurau..Zafran semakin lancar dan teliti pembacaannya.

19 Ramadhan (Ahad)

Lepas subuh zarif mengemas barang2 dia utk balik ke asrama. Zafran begitu menarik mendengar 'kuliah subuh' berkaitan Qorin yang disampaikan oleh bapanya ini..sampai tak jadi dia nak tidur balik seperti kebiasaan.

Pukul 9.30 kami dah keluar rumah nak cari beberapa barang keperluan.

Selepas ziarah kami solat Zohor di Masjid Taufiqiah Kg Tg Husein.

Pukul 4.00 ptg Zarif balik ke asrama..Teratak Mawaddah kembali sunyi...

Sebelum pergi buka puasa di surau hantar pakaian Zafran ke rumah Kak Rubi untuk bekalan seminggu...hujan mencurah2

Iftar di surau...hujan lebat..elektrik pulak tak de..

Pencarian Lailatul Qadar bermula

20 Ramadhan (Isnin)

Malas beno rasa nak pegi kerja..sebab esok cuti 31 Ogos. Tapi ngenangkan nak terus melawat Shikin, baiklah pegi kerja, macammana pun nak ke hospital jugak.

Ofis sunyi tak de orang..ramai ambil cuti..

Zafran tinggal dengan Kak Rubi hari ni..sebab Kak Suri balik Johor
CC Baha (PKD KINTA) call jemput berbuka puasa di PKD pada 1 september (22 Ramadhan).

Petang tak melawat Shikin sebab hujan lebat, takut jalan jem lambat sampai rumah..

Singgah di Pasar Ramadhan Silibin..beli nasi ayam utk Zafran dan Kari Kepala Ikan utk diri sendiri campur kerabu mangga.

Sampai rumah lepas ambil Zafran dah pukul 6.45 petang...Buah Mangga depan rumah hampir habis dicuri orang. Alhamdulillah ada juga orang yang berhajat dengan buah mempelam tu..moga2 menjadi sedekah yang barakah pada bulan mulia ini..HALAL..
Lambat sangat sampai rumah kesian kak rubi lambat pergi pasar ramadhan.

Lepas buka puasa Zafran dah mengah kerana minum seteko air Sunquick Limau Mandarin..Tak larat nak ke surau..terpaksa pujuk, kalau mengantuk tido aje kat saf belakang tu..dia setuju (dah sampai surau main dengan Lokman macam dah tak nak tidur)

Kalau tinggal dengan mama tentu dia buat lentok tak nak pegi surau..

21 Ramadhan (selasa)

Hari ni cuti Merdeka...kalau baby lahir hari ni pasti namanya Qistina Merdeka...Zafran liat nak sahur dan nak ke surau. Jenuh pujuk; lepas subuh boleh tidur lama sebab hari ni cuti...memang lepas subuh aje dia bantai tidur sampai pukul 12 tgh.










Kemas rumah sikit2 dan basuh baju Zafran.
Lepas zohor lelap sekejap..Zafran asyik main..

Pukul 3.00 bawa Zafran keluar beli 2 pasang baju sekolah dia. yang lama dah sendat.

Terus ke AlBarakah nak tumpangkan Zafran di Pondok Mak...sebab dia tak boleh melawat Shikin. Belikan Zafran mainan robot transformer..dia bukan main suka.

Shikin menanti dengan penuh debaran esok nak scan sekali lagi nak tahu status kandungan.

Lepas ambil Zafran dari rumah mak terus ke Masjid Taman Kledang Jaya..berbuka puasa.

Terawih hari ni penat sikit..habis moreh terus balik..kelas AlQuran cancel..penat sikit

Goreng nasi utk Sahur...Zafran dah sapu semangkuk sebelum tidur.

22 Ramadhan (Rabu)

Hantar nasi goreng sikit kat Shikin.

Shikin scan pukul 9.00 pg. Dr bagi tahu masih Placenta Previa type 3. Tunggu lagi 3 minggu dalam wad untuk scan seterusnya. Alhamdulillah berat baby meningkat 2.2 kg

Hari ni rehearsal majlis khatam Alquran..aku baca surah AlBaiyinah..

Pukul 1 melawat Shikin..Kak Minah datang bawa kuih raya yang ditempah Shikin.

Petang bawa Zafran buka puasa di PKD Kinta. Dia tertidur masa tazkirah oleh Ustaz Shamsul sementara menunggu waktu berbuka.











23 Ramadhan (Khamis)

Mengantuk sangat hari ni..beberapa kali terlelap di ofis. Nak segarkan minda layari internet..baca ulasan blogers berkaitan isu orang kafir masuk masjid..

Masa melawat Shikin pukul 1.00 sempat terlena sekejap..

Buatkan surat kpd Pengarah mohon diberi kebenaran melawat Shikin masa pagi raya bersama Zafran dan Zarif..

Alhamdulillah jalan tak jem masa balik. Dapat ambil Zafran awal sebelum pukul 6.00. terus bawa ke Pasar Ramadhan BG. Dia beli nasi ayam dan ayam percik...aku sekadar mee rebus mamak..Alhamdulillah bukanlah makanan itu yang akan memberikan kekenyangan melainkan kehendak Allah jua.

Dapat Kad Raya dari Abah.

Zafran mengantuk dan tertidur semasa tarawih..Tak dapat teruskan kelas AlQuran...Zafran selsema bagi dia minum ubat batuk..Dia terlena sampai sukar sangat nak bangun sahur...Sahur dia makan roti sambil tertidur...

24 Ramadhan (Jumaat)
Subuh di rumah shj sebab Zafran tak boleh nak bangun...

Melawat Shikin awal sikit sebab nak pergi sembahyang jumaat. Siap kena halau dengan Jaga..Jaga ni memang taat pada arahan tak kira staff ke HOD ke kalau di luar waktu melawat memang dia halau punya..

25,26 Ramadhan (Sabtu & Ahad)-Rutin biasa

27 Ramadhan (Isnin)

Budak2 mula cuti sekolah. Aku ambil cuti jugak hari ni..tapi kena pegi pejabat sebab ada Majlis Khatam AlQuran..Bawa anak2 tolong siapkan dewan auditorium...

Majlis Khatam Alquran berjalan lancar..aku kena baca surah Al Baiyinah..Zarif dan Zafran tengok aje. Diarang sama2 bernasyid Asma Ul Husna semasa majlis tu.

Buka puasa di Masjid Taman Kledang Jaya..anak2 memang suka berbuka disitu..nasi minyak sedap.

28 & 29 Ramadhan (Selasa & Rabu )

Bercuti 2 hari ni..pegi ziarah Shikin petang..pagi uruskan anak2 & rumah termasuk cari pakaian raya mereka yang belum cukup spt kasut Zafran, songkok dan seluar Zarif.

Aku tiada pakaian baru tahun ini, cukup dengan baju2 yg sedia ada..tak seronok melaram baju raya sorang2...cukuplah anak2 gembira dengan pakaian baru mereka.

Zafran asyik menuntut hadiah puasa dia...dia nak kereta RX7...cari punya cari dia berkenan Audi di TESCO pengkalan...dia punya seronok dapat kereta tu..

30 Ramadhan (Khamis) 9 Sept 2010

Tempah nasi impit, kuah kacang, lemang dan rendang dari Abg Ayob untuk suprise Shikin pagi raya esok. Ofis dah lengang. Selepas ziarah Shikin, petang macam biasa kami 3 beranak cari pot buka puasa. Lepas mesyuarat dan undian dibuat majoriti setuju untuk buka puasa di Masjid Taman Kledang....nasi minyak punya pasal..

pkl 6.50 ptg - sampai di Masjid...alamak sikit pulak hidangan hari ni...orang nampak macam ramai..rasa2 tak cukup..bincang semula 3 beranak, last2 lencong ke kedai mamak (Rahim). Masing2 belasah nasi beriani, ayam goreng, aku belasah nasi goreng kambing...zafran dahaga sangat entah berapa gelas air dia order...tak kisahlah hari terakhir buka puasa tahun ini..belasahlah apa saja abah bayar punya..last2 mamak tu belasah kira cukup2 entah berapa puluh dihentamnya...anggap sedekah raya aje..

Sembahyang maghrib di surau Petronas Silibin..Zafran sakit perut....










Toilet lelaki penuh, Zafran guna toilet perempuan..

8.00 mlm sampai rumah..siap2 terus ke surau...bersama ahli jemaah surau Awwamiah Takbir Raya..Zarif turut ambil bahagian mengetuai Takbir tersebut. Alhamdulillah moga2 dia berkekalan begitu menjadi anak yang soleh dan sentiasa mendoakan ibu bapanya ketika dalam kubur nanti. Itulah saham yang aku ada selepas kematian nanti....











1 SYAWAL 1431 H / 10 Sept. 2010 ( Jumaat)

Kejut anak2 awal pagi..alhamdulillah masing2 teruja nak beraya di hospital..Selepas sembahyang subuh...alamak abg Ayob tak dtng surau la pulak...pukul 6.30 suruh Zarif pergi rumah Abg Ayob...tempahan nasi impit macam mana???..Zarif balik tangan kosong...dia kata dah bagi salam tapi tak de org jawab..rosak program nak bawa nasi impit kuah kacang ke hospital, nak makan sama2 satu keluarga...makanan favourite Shikin..

Tak pelah mungkin Allah nak uji lagi,,, mungkin makanan tu akan memudaratkan Shikin dan baby..Allah Maha Mengetahui dan Maha Berkehendak. Dalam hati terus berdoa berikanlah yang terbaik bukan untuk diri ini tapi untuk isteri dan anak2. Ya Allah apa yang dirancang ini hanyalah untuk menggembirakan mereka setelah ujian yang mereka hadapi sepanjang ramadhan. Syaitan yang baru bebas dari dirantai tak habis2 membisikkan rasa kecewa dengan ujian Allah ini. Aku kuatkan Iman yakin pasti ada pertolongan Allah dan perancangan Allah yang lebih baik......Packing kuih ala kadar, siap2 nak ke hospital dah dekat pukul 7.00, sambil2 tu jengok2 juga ke rumah Abg Ayob, harap2 dia ada...tiba2

"Assalamualaikum...." org bagi salam di luar rumah..ingat ke Abg Ayob rupa2 nya anak Pak Aji depan rumah...Dalam hati terdetik ni mesti Pak Aji ajak buat Tahlil lepas sembahyang raya...(jahatnya bisikan syaitan)

Alhamdulillah Allah Maha penyayang...rupa2nya anak Pak Aji bawa juadah punyalah banyak...ketupat, lemang, rendang ayam, rendang daging, kuah kacang, kek dan macam2 lagi..ya Allah malunya pada Allah...semalam aku rasa rancangan aku yang terbaik dan pasti menjadi untuk membuat kejutan di pagi raya, lagi pun Abg Ayob memang tak pernah fail..Aku terlalai ya Allah untuk berserah kepada mu, aku terlalu yakin pada manusia..nah dengan hanya Engkau turunkan 'tentera' Mu yang bernama mengantuk menyebabkan Abg Ayob sekeluarga tertidur sampai perancangan aku gagal...tapi Engkau Maha mengasihani menurunkan 'tentera'Mu yang bernama simpati ke hati Pak Aji Jamaludin untuk bersedekah juadah kepada kami sekeluarga, sedangkan logiknya Abg Ayob suami isteri memang tukang masak yang handal, tapi Pak Aji suami isteri, jgn kan nak memasak utk org lain, utk diri sendiri pun susah sebab banyak pantang larang yang tak boleh di makan. Itulah kuasa dan kehendak Allah.

7.00 pg terus pecut ke hospital...seperti dijangka Shikin terkejut beruk bila lihat kami datang bersama juadah yang banyak...hilang segala tekanan bila tengok mereka yang kita sayang bergembira di pagi raya, walau pun di tempat yang orang tak gembira..

Kami sembahyang raya di Masjid Muhibbudin Shah...lepas tu ke hospital semula...

Hari masih awal..ajak anak2 balik kampung di Bt Kurau...Alhamdulillah jalan tak jem sangat sampai kampung awal jugak...

Mak2 saudara dan sepupu sepapat Zarif dan Zafran sangat memahami keadaan kami malah ada yang terlebih simpati...Mak Long macam biasa hampir2 menitis air mata mengenangkan anak2 tak beraya dengan mama mereka..macamlah budak2 tu tak de mak bapak..tapi ok gak banyak jugak duit raya diarang dapat...yang menarik tu Abah deme pun dapat singgit dua..

on the way balik singgah masjid bt 4 kemunting, sembahyang jumaat. Nak singgah kuala kangsar tak sempat sebab deme dah nak bertolak ke hospital, so jumpa di hospital je lah....

Dalam kereta tengok budak2 tu terlentok keletihan..kesian pulak...










sampai Ipoh terus ke Greentown Mall, Zarif nak beli pendrive...kedai komputer semua tutup.. yang buka kedai jual games. Belikan Zarif PS (Taiwan) sebagai hadiah, Zafran dah belikan kereta Audi hari tu....

Lepas melawat Shikin petang raya...mama ajak ke rumah Mak Lang...kami maghrib di sana...

Mak Lang hidang macaroni ke spegeti, aku pun tak tahu..di samping lemang, nasi impit dan biskut raya...Budak2 tu macam biasa, bukan reti sedih, mak deme tak ade sama..diarang belasah semacam aje..Dah tu tak makan saman pulak tu..Zafran siap minta nasi lagi...mujur abah deme pandai cover line..nak jaga hati tuan rumah..

Balik BG agak lewat...dlam kereta DJ radio Perak buat lawak dengan panggilan dari pendengar yang macam2 ragam sampai budak2 dua orang tu tergelak terbahak....

ALHAMDULILLAH.....indah sungguh Idilfitri tahun ini...setelah Ramadhan dilalui dengan penuh dugaan..Idilfitri kami sambut dengan penuh kesyukuran walau pun tak sesempurna seperti tahun2 sebelumnya seperti kata bidalan (buatan sendiri)."Biar pun kopi itu hitam, manis ditelan, hitamnya tidak lekat di badan"..


0 Comments:

Post a Comment

<< Home